Diumpat Orang, Apa Nak Buat?

Kongsikan di
Diumpat Orang, Apa Nak Buat?

Mengumpat seringkali dikaitkan dengan kaum wanita. Bila saja orang perempuan duduk berborak, mulalah dicop sebagai mesyuarat tingkap dan bergosip. Lebih parah apabila gosip bukan lagi sekadar gosip tetapi lebih berbentuk fitnah. Ironinya, masyarakat seperti melabelkan kaum lelaki seperti innocent dari mengumpat dan menfitnah.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain,dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain.
Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sungguh ALLAH Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang”.Al-Hujurat, ayat 12
Kesyumulan Al-Quran sebagai kitab panduan manusia telah meletakkan larangan dalam mengumpat dan berprasangka lebih dari 1400 tahun dahulu. Masih, manusia degil dan tetap juga mengumpat sehingga ke hari ini. Bahkan, acara mengumpat dimudahkan lagi dengan kewujudan medium sosial seperti blog, Facebook, Twitter dan sebagainya.
Lihat saja kebanjiran laman web gosip artis yang semakin mendapat tempat di hati pelayar internet. Siap buat bookmark lagi untuk laman-laman web sebegitu. Tazkirah.net hanya dibuka apabila keinsafan menjenguk hati ataupun ada perkongsian tentang tips memikat suami. Oops!
Yang menyedihkan, kehadiran medium sosial tersebut turut membuka ruang bagi seseorang individu membuka pekung dan aib sendiri, lalu memudahkan mereka menjadi mangsa umpatan dan fitnah. Gambar dan status yang personal adalah terlalu peribadi untuk dikongsi, tapi realitinya, itulah yang dilakukan sekalian manusia sehari-hari.
Mark Zuckerberg sendiri mengakui kelemahan Facebook ciptaannya sebagai satu platform yang terlalu mendedahkan sisi personal seseorang. Tapi, bagaimana pula dengan mereka yang masih menjadi mangsa umpatan dan fitnah walaupun telah berdiam diri dan mengelak dari sebarang bentuk pendedahan?
Realiti seorang pengumpat
Satu ideologi indah untuk menggambarkan golongan ini adalah seperti nyamuk. Ya, nyamuk yang bising, menghisap darah dan menyebarkan penyakit itu datangnya dari air yang bertakung.
Begitu juga dengan golongan manusia yang suka mengadu domba. Apabila manusia terperangkap dalam satu kekangan ilmu yang tidak berkembang, golongan ini mudah membuat bising, berprasangka dan menyebarkan fitnah.
Lalu, haruskah kita memendam rasa dan mengambil kira mereka yang nyata tidak berkembang permikirannya? Mengambil kata-kata mutiara Imam Shafi’e,
Aku mampu berhujah dengan 10 orang bijak pandai, tapi tidak dengan seorang yang jahil.

Wajarkah kita mencalarkan perasaan sendiri kerana golongan ini? Lalu, perkara pertama yang boleh dilakukan apabila beradapan golongan sebegini adalah bersabar kerana realitinya orang yang bersangka-sangka itu mentalitinya jumud.
Serang balas
Cara terbaik untuk membalas perbuatan yang tidak baik adalah dengan perbuatan yang baik. Duh, klishe!
Tapi, percayalah dengan kebaikan itu dapat ‘memalukan’ pihak yang menyebarkan kata-kata tidak baik itu. Adakah berbaloi membalas kata-kata yang tidak baik sehingga merendahkan martabat kita?
Bahkan, ia tidak akan menyelesaikan masalah yang kita sedang hadapi. Faktanya, kita tidak boleh masuk ke dalam otak seseorang dan ubah permikiran mereka. Tapi, kita boleh cuba mempengaruhi persepsi mereka dengan perbuatan dan perkataan baik yang dilakukan secara konsisten.
Memang ianya menuntut sedikit kesabaran, tapi kejayaan menggunung tidak datang dalam sehari, bukan. Sabar dan tetap di jalan kebaikan, itulah sebaik-baik ‘serang-balas’ yang boleh kita lakukan.
Senyum
Berharganya sebuah senyuman, sehingga seorang raja sanggup melepaskan takhta warisannya demi seorang wanita biasa. Betapa bernilainya sebuah senyuman, sehingga mampu menjadi magnet kekayaan dan menarik peluang berharga bagi seorang peniaga.
Ya, hanya senyum dan tanpa perlu mencium setongkol wang atau stereng kereta!
Dalam konteks ini, kita perlu jelas niat senyum adalah untuk memberitahu sang pembawa cerita bahawa kita sedikit pun tidak terjejas dengan khabar-khabar angin tersebut. Bahkan, kita tetap bahagia dan gembira di kehidupan seharian kita.
Ini dapat memberikan satu isyarat yang mengelirukan kepadanya dan orang sekeliling yang mulai terpengaruh dengan isu tersebut. Lambat laun, akan lahir di benak mereka akan kebenaran dan kesahihan berita tersebut.
Yakin, apabila kebenaran hadir, kata-kata negatif akan pudar dan hilang dengan sendirinya. Sepertimana matahari yang menghalau awan kelabu apabila sinarnya kembali menyinsing.
Dunia kecil kita
Bina dunia kecil kita sendiri. Dunia ini terlalu besar untuk kita fikirkan semuanya. Terlalu luas. Lalu, binalah satu dunia kita sendiri yang hanya dipenuhi mereka yang benar-benar penting dan kita sayangi.
Selepas kita bina dunia kecil ini, usah pedulikan dunia ‘luar’ yang kurang penting. Mereka yang benar-benar menyayangi kita tidak akan melakukan sesuatu yang menyakiti atau menyedihkan kita.
Fokus kepada mereka yang ikhlas, kerana apa jua yang kita lakukan benar-benar bermakna bagi mereka. Apabila sesuatu menimpa dan kita memerlukan sokongan, pandanglah mereka yang menghuni dunia kecil kita ini. Apabila mereka menyokong tindakan kita, bererti seluruh dunia sudah menyokong kita!
Saya gemar menkelaskan dunia saya ini kepada beberapa petala. Petala terdalam terdiri dari immediate familly yang sentiasa dibelakang saya walau apa jua. Diikuti dengan petala kawan-kawan rapat, rakan sekerja mahupun sesiapa sahaja.
Bersandarkan teori ikatan kimia, semakin besar petala itu, semakin kurang tarikan antara kita dan penghuninya dan semakin kurang penting juga mereka-mereka ini dalam mempengaruhi kehidupan seharian kita.
Stand tall
Kita tidak perlu menjadi 170cm untuk stand tall.
Sebenarnya, walau apa jua yang kita lakukan, haruslah diasaskan dari keyakinan yang tinggi. Yakin kita di pihak yang benar, jangan mudah goyah atau kecewa denagn sesuatu yang tidak menurut perancangan kita.
A lie told with confidence will eventually become the truth.
Kenapa perlu hukum diri di atas kesilapan yang bukan berpunca dari kita? Perbualan dan perkataan orang lain adalah sesuatu di luar kawalan kita. Kita tidak mampu mengawal mahupun menghalang perkara tersebut.
Jadi, biarkan sahaja perkara yang di luar kawalan kita dan fokus hanya pada perkara yang mampu kita kawal. Lagipun, bukankah kita hanya perlu fokus pada satu persepsi sahaja iaitu ALLAH S.W.T?
Sumber : tazkirah.net


loading...

0 Response to "Diumpat Orang, Apa Nak Buat?"

Post a Comment