KEISTIMEWAAN KUNYIT: Mengapa NENEK MOYANG KITA MENGAMALKAN KUNYIT.

Kongsikan di


KEGUNAAN kunyit dalam bidang tradisional telah bermula sejak 2,500 tahun dahulu. Walaupun kunyit atau lebih dikenali sebagai curcumin terkenal dalam bidang masakan, rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.
Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.
Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semulajadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti-kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.
Sifat anti kanser kunyit
Kajian mencadangkan mereka yang mengambil diet kaya dengan kunyit akan mempunyai kadar rendah kanser payu dara, prostat, paru-paru dan kanser kolon.
Bharat B. Aggarwal, professor perubatan kanser di Jabatan Terapeutik Pusat Kanser Anderson University of Texas M.D. telah melakukan kajian rempah ini selama satu dekad.
Penyelidik Pusat Kanser tersebut mendapati curcuminoid juga menghalang aliran biologi penting yang diperlukan dalam perkembangan melanoma dan kanser lain. Kajian tersebut diterbitkan pada 15 Ogos 2005 dalam isu jurnal Cancer dan menunjukkan bagaimana kunyit menghentikan strain melanoma di makmal daripada berganda dan mengarahkan sel kanser untuk membunuh diri sendiri.
Dalam pada itu, pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker memberitahu, kunyit mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai curcumin yang berperanan mencegah penyakit berprofil tinggi seperti kanser payudara, prostat dan mengurangkan kolesterol dalam badan.
“Curcumin bersifat antioksida dan ia juga mampu menguatkan sistem imunisasi dalam badan seseorang bagi mengelak serangan penyakit jika diambil secara berterusan.
“Penyebab kanser yang terdiri daripada radikal bebas boleh dineutralkan oleh fungsi antioksidan yang terdapat dalam herba unik ini,” jelas Gerard yang berpengalaman melakukan kajian tentang khasiat kunyit sejak 10 tahun lalu.
Mencegah Alzheimer
Penyakit Alzheimer, sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Ciri Alzheimer digambarkan oleh plak amiloid yang terbentuk dalam otak. Plak amiloid ialah gugusan sejenis protin dikenali sebagai amiloid beta. Plak tersebut merosakkan sel otak dengan ‘mencekik’ mereka. Plak amiloid juga menjana radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel otak.
Kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal. NFkB menyebabkan radang yang juga menyumbang kepada pembentukan amiloid beta. Kunyit telah menunjukkan keupayaan menurunkan pembentukan amiloid beta melalui perencatan NFkB. Dengan merencat pembentukan amiloid beta melalui mekanisme dwi-tindakan dalam perlindungan terhadap radang dan kerosakan radikal bebas, curcuminoid menjadi agen semulajadi untuk mencegah dan memperlahankan perkembangan Alzheimer. Kajian klinikal sedang dijalankan di UCLA dengan menggunakan curcumin bagi penyakit Alzheimer.
Kelegaan sakit sendi dan radang
Arthritis adalah sejenis penyakit pro-radang. Kunyit telah digunakan berdekad lamanya untuk merawat keadaan radang seperti osteoartritis. Tindakan anti-radang adalah disebabkan oleh perencatan NFkB. Pada tahun 2006, curcuminoid bersama dengan ubat popular, Celecoxib, sejenis perencat COX-2 telah menunjukkan tindakan bersinergi mengurangkan radang. Penemuan ini adalah penting kerana perencat COX-2 mempunyai kesan sampingan. Jika anda menggabungkan rawatan ini dengan curcuminoid anda boleh mengurangkan dos ubat tersebut dan mengurangkan kesan sampingannya.
Tambah Gerard, kunyit mempunyai pakej yang cukup lengkap dalam penjagaan badan manusia, iaitu untuk menjaga kesihatan dan kecantikan yang menjadi idaman setiap orang. Generasi muda perlu sedar tentang kepentingan herba ini dan kembali mengamalkan tradisi perubatan yang pernah diamalkan oleh generasi terdahulu serta mempelbagaikan penggunaannya dalam diet harian. Mereka perlu sedar bahawa herba dan ulam-ulaman merupakan penawar semula jadi yang tidak boleh dipertikaikan khasiatnya terhadap kesihatan manusia. Gerard telah melakukan kajian tentang herba dan perubatan tradisional lebih 20 tahun dan mengkaji tentang herba kunyit kira-kira 10 tahun. Penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest itu juga banyak mengulas tentang khasiat-khasiat herba yang terdapat di Malaysia. Beliau turut menyarankan supaya usaha membukukan khasiat herba dan ulam-ulaman yang menjadi amalan masyarakat terdahulu dibukukan supaya ia tidak lenyap ditelan zaman.
sumber: utusan
loading...

0 Response to "KEISTIMEWAAN KUNYIT: Mengapa NENEK MOYANG KITA MENGAMALKAN KUNYIT."

Post a Comment