Ciri ciri manusia menurut Baginda Rasulullah. KITA DI KATEGORI YANG MANA?

Kongsikan di


(Disalin dari rakaman Kuliah Riyadh Al-Solihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Hadis ke-1385, Kajang, 14.12.2012)
وعن أبي موسى رضي الله عنه قال‏:‏ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏:‏ ‏ “‏مَثَلُ مَا بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ مِنَ الهُدَى وَالعِلْمِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا طَائِفَةٌ طَيِّبَةٌ قَبِلَتِ الماءَ فَأَنْبَتَتِ الكَلَأَ، وَالعُشْبَ الكَثِيرَ وكان مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الماءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا مِنْهَا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَ طَائِفَةً مِنْهَا أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذٰلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ في دِينِ اللهِ وَنَفَعَهُ ما بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذٰلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الذي أُرْسِلْتُ بِهِ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏
Daripada Abu Musa (Al-Asy’ari) radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Perumpamaan apa yang aku diutus oleh Allah dengannya dari hidayah dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi (tanah), maka ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Ada pula daripadanya tanah yang gersang yang menyimpan (menampung) air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan. Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (tidak menghiraukannya), dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Penjelasan hadis:
Hadis ini pernah kita baca dalam Bab 16 Perintah Menjaga Sunnah, cuma Imam Al-Nawawi menyebutkannya sekali lagi bagi melihatnya dari sudut yang lain, iaitu keutamaan ilmu.
Dari hadis ini, dapat kita lihat bagaimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membuat perumpamaan bagi menggambarkan sesuatu yang maknawi dengan contoh yang zahir. Benda yang dimaksudkan atau dibayangkan dalam kepala dizahirkan dengan apa yang dapat kita lihat dengan mata iaitu diumpamakan dengan hujan dan tanah.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallammenggambarkan ilmu sebagai sumber kehidupan manusia sebagaimana air hujan menjadi sumber kehidupan tanaman. Tidak ada kehidupan bagi sesebuah umat kecuali dengan ilmu Syarak. Maka mana-mana umat manusia yang tidak mempunyai ilmu Syarak, maka ia adalah umat yang mati.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan tanah itu kepada tiga macam;
  1. Tanah yang menerima atau menyerap hujan lalu ia menghasilkan tanaman.
  2. Tanah yang tidak menyerap air tetapi ia menakung air. Walaupun tidak ada tanaman yang tumbuh tetapi ia menyimpan air di atas permukaannya, hasilnya ia menjadi sumber pengairan dan manusia menggunakan air itu untuk keperluan harian dan memberi minum haiwan ternakan mereka.
  3. Tanah yang kontang yang hujan turun ke atasnya tetapi ia tidak menyimpan air dan tidak pula menumbuhkan apa-apa hasil tanaman.
Rasulullah menggambarkan manusia dengan tiga macam tanah ini, maka lihatlah diri kita ini tanah yang bagaimana.
Perumpamaan tanah yang pertama; adalah perumpamaan bagi ulama’ ataupun fuqaha’ (orang-orang yang faqih[1]) iaitu mereka yang berilmu. Mereka berilmu hasil dari ilmu yang mereka pelajari, dan mereka mengajarnya kepada orang lain. Hujan turun lalu dia minum, kemudian dia menampakkan hasilnya dengan mengeluarkan berbagai-bagai bentuk tanaman dan menjadi sumber makanan kepada makhluk yang lain.
Adapun perumpamaan tanah yang kedua; adalah perumpamaan bagi mereka yang bukan ulama ataupun fuqaha’. Sebaliknya ia gambaran bagi golongan perawi. Ini golongan yang penting juga di dalam umat Islam. Mereka mendapatkan ilmu kemudian meriwayatkannya kepada orang lain seadanya, tanpa memperincikan dan tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut, kerana mereka tidak punya kefaqihan dalam hal itu. Mereka sekadar menyimpan riwayat-riwayat yang mereka dengar dan pelajari.
Seperti mana periwayatan Al-Quran dan periwayatan hadis. Bukan semua orang yang hafal Al-Quran atau hadis adalah Ulama. Hal ini jelas boleh dilihat di sekeliling kita. Mereka sekadar boleh menyampaikan apa yang mereka hafal. Kalau kita bandingkan antara fuqaha dengan perawi, yang lebih ramai adalah para perawi. Ribuan perawi-perawi dalam setiap generasi; generasi sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in sehinggalah datang generasi para ulama hadis yang telah membukukan hadis-hadis daripada perawi-perawi hadis. Perawi-perawi bukan semuanya fuqaha’ tetapi setidak-tidaknya mereka telah mendapatkan riwayat yang mereka dengar, mereka simpan, mereka jaga, dan mereka sampaikan kepada generasi berikutnya.
Adapun perumpamaan tanah yang ketiga; adalah perumpamaan mereka yang paling rugi iaitu jenis manusia yang ilmu sampai kepadanya tetapi tidak memberi apa juga hasil yang baik. Ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, tidak ada kesan ke atas dirinya, jauh sekali memberi kesan kepada orang lain. Bahkan mereka tidak menghargai ilmu yang sampai kepada mereka. Mereka memandang remeh, tidak menghiraukan ilmu yang mereka dengar dan pelajari.
Maka lihatlah kita termasuk dalam golongan mana.
Apabila melihat yang pertama, jangan kita pandang jauh sangat. Tidak semestinya kita kena jadi faqih, ulama muktabar. Bukan. Setidak-tidaknya, kita menjadi ulama dalam perkara-perkara yang wajib kita tahu.
Misalnya akidah yang menjadi kepercayaan kita, tauhid yang perlu kita faham, perkara syirik dan khurafat yang perlu kita jauhi, perkara ibadah; solat yang kita kerjakan, puasa, sedekah, membaca Al-Quran dan sebagainya.
Kita perlu jadi ulama dalam hal yang wajib kita tahu, bukan jadi juhala’ (orang yang jahil) atau pentaqlid buta iaitu yang mengikut sahaja apa yang orang buat. Bila ditanya kenapa kamu solat? “Sebab saya tengok dia solat”. Allah di mana? “Allah di mana-mana”. Kenapa Allah di mana-mana? “Dia cakap macam tu”. Kenapa kamu buat macam ni? “Sebab si fulan buat macam ni”. Itu taklid, jangan kita jadi begitu. Sebaliknya hendaklah kita berilmu dalam segala hal yang berkaitan agama kita sama ada akidah mahupun ibadah.
Ini kerana seperti mana hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kamu bertanggungjawab dan setiap kamu akan disoal tentang orang yang di bawah tanggungjawabnya.” (Al-Bukhari dan Muslim)
Maka tidak ada siapa pun yang boleh lari dari tanggungjawab. Jangan ada yang kata “Eh, saya bukan pendakwah”. Jika demikian, siapa yang hendak mengajar adik kita, anak-anak kita, isteri kita di rumah? Panggil Ustaz datang ke rumah mengajar isteri kita? Ini sudah tahap parah.
Anak-anak kita, dia solat pun kita tidak tahu apa yang betul apa yang salah. Siapa yang bertanggungjawab untuk betulkan semua ini? Hal dalam rumah, siapa yang ambil tahu kalau bukan kita. Kitalah yang bertanggungjawab, dan percayalah kita akan dipersoalkan di Akhirat kelak sama ada kita melaksanakan tanggungjawab kita ataupun tidak. Jadi kita perlu beri perhatian dalam hal ini.

[1] Menurut Syaikh Muhammad Ibn Salih Al-Utsaimin rahimahullah dalam Kitabu Al-‘Ilm, faqih tentang agama Allah bukanlah hanya memahami hukum tertentu berdasarkan ilmu fiqah sahaja, tetapi maksudnya adalah apa-apa ilmu tauhid dan usul agama dan apa-apa yang berkaitan syariat Allah.
(Disalin dari rakaman Kuliah Riyadh Al-Solihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Hadis ke-1385, Kajang, 14.12.2012)
loading...

0 Response to "Ciri ciri manusia menurut Baginda Rasulullah. KITA DI KATEGORI YANG MANA?"

Post a Comment